Datum Jelatek bakal kikis kuasa Melayu – JMM
KUALA LUMPUR: Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendakwa projek kondominium mewah Datum Jelatek bakal mengikis kuasa Melayu seperti yang berlaku di Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan DAP.
Presidennya, Azwandin Hamzah berkata jika projek ini terus dilaksanakan satu lagi episod baru penindasan terhadap orang-orang Melayu.
“Yang berlaku di Pulau Pinang, yang saudara-saudara tengok di dalam tv dan akhbar, orang Melayu dihalau dan dikeluarkan dari-dari tempat asal, adalah cara yang sama dilakukan di Datum Jelatek ini.
“Ini bukan perkara biasa dan ini adalah perancangan yang teratur untuk memasuki kawasan kita dan mengambilalih kuasa orang Melayu yang merana di dalam Datuk Keramat itu,” katanya di dalam satu program bicara rakyat “Datum Jelatek, Melayu Dihalau, Aqidah Digadai’di sini, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan bahawa rakyat Melayu di Pulau Pinang khususnya terpaksa berhijrah ke negeri lain kerana kos kehidupan dan harga rumah melambung tinggi.
Namun Ketua Menteri Lim Guan Eng menafikan perkara itu sebaliknya berkata kerajaan DAP telah membina rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah.
Azwandin kemudian memuji penduduk kawasan Keramat yang segera mengambil tindakan bagi memastikan isu tersebut mendapat perhatian segera.
“Saya berasa teruja kerana orang Melayu di Datuk Keramat ini begitu cepat mengambil tahu isu ini dan melawan pihak berkenaan yang memasuki kawasan ini tuan puan.
“Tindakan yang cepat dan harus kita bangga, yang kita patut lihat dan menyerahkan kuasa asing untuk menyerang perkampungan kita khususnya di Datuk Keramat ini,” katanya.
Agenda kukuhkan kuasa asing
Azwandin selain itu mendakwa projek Datum Jelatek ini juga merupakan gerakan untuk membawa kuasa asing masuk ke negara ini dan jika tidak diatasi segera akan mendatangkan kesan buruk kepada penduduk di situ.
“Ini adalah suatu gerakan halus dan perancangan kuasa asing untuk memasuki dalam tempat ini.
“Gerakan kuasa asing bukan hanya apa yang berlaku seperti di Datum Jelatek tetapi selama ini saya telah mendedahkan beberapa pertubuhan NGO yang telah ditaja oleh kuasa asing untuk menggerakkan gerakan terancam untuk menghancurkan orang Melayu kita,” katanya.
Projek Datum Jelatek merupakan projek pembangunan semula kawasan perumahan kos rendah di Jalan Jelatek, Datuk Keramat bernilai RM1.2 bilion yang dijadual siap 2016.
Membabitkan empat bangunan setinggi 45 tingkat , pejabat, hotel dan pusat membeli belah projek yang didakwa penduduk dibuat tanpa memikirkan keadaan orang Melayu di sekeliling kawasan ini.
Pada 4 Oktober 2012, Datum Jelatek telah dilancarkan di Marina Bay Sands, Singapura dan dibuka untuk pembelian dan didakwa kuasa membeli adalah berpihak kepada orang luar.
Sementara itu dalam perkembangan yang sama, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad menegaskan isu Datum Jelatek wajar dipertahankan.
“Isu setempat adalah sesuatu yang cukup wajar atapun sikap yang memang mengenali orang Islam adalah harus mempertahankan orang-orang kita atau dalam kata lain dan dalam unit yang kecil adalah untuk mempertahankan kampung kita iaitu dalam Keramat ini,” katanya di program yang sama.
“Orang yang mempunyai akal yang sihat tidak akan meletakkan pembangunan, dan orang yang mempunyai akal sihat juga tidak akan membenarkan kawasan mereka diceroboh,” katanya lagi.
Malah beliau turut menegaskan isu mempertahankan kawasan dari terus dijajah oleh kuasa asing sudah terbukti sejak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi.
“Di dalam sejarah Islam, terdapat siri-siri peperangan di antara orang Islam dan bukan orang Islam kerana antaranya adalah untuk mempertahankan wilayah atau tempat, cuba lihat sejarah,” katanya.
Dipetik dari: http://antarapos.com



